Saturday, February 11, 2012

KAWAN, KERANA AKU JUGA MANUSIA BERTOPENG

Assalamualaikum. 

Lemas, rimas dan panas. Dan dalam tergesa-gesa dan terburu-buru menyempurnakan urusan dunia, aku dicuit oleh sang kesedaran. 

Kau bertopeng. Kau manusia bertopeng. Kawan, topengmu itu terlalu tebal. Sungguh tidaklah aku merasa puas menatap wajah dan pemaparanmu, kerana kau bertopeng litup. Geram. Keadaan yang sungguh tidak menyenangkan namun dipujuk-pujuk untuk menyenangkan diri sendiri.

Ketidakpuashatian. 

Sehinggalah aku terlihat kelibat yang kehitam-hitaman dalam pandangan. Dan pipi gebuku terasa panas dan melekit. Juga basah ruas dahiku dengan keringat. Panik sendiri. Mengapa tiba-tiba jadi begini?

Pandangan pinar. Sempit.

Oh kawan, usahlah kau renung aku dengan tajamnya renungan itu. Sesungguhnya aku sedar, kita sama, semuanya sama. 

Kawan, kerana aku juga manusia bertopeng. 

Monday, February 06, 2012

KAFARAH DOSA

Assalamualaikum. 

Alhamdulillah. Syukur kerana walau pun dalam kondisi yang kurang walafiat ini, tatkala genap seminggu demam urat yang masih belum kebah, aku masih mampu menitip aksara. Mana tidak, kemudahan Wi-Fi yang terlampau laju di rumah tercinta ini mana bisa disiakan. 

Kali ini aku tersedar, memang Allah selalu menguji hamba-hamba yang disayangi-Nya. Aku reda dan aku terima, kerana telah aku tanam kepercayaan ulung bersandarkan surah At-Tagaabun ayat 11 yang bermaksud:


"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".


Makanya, aku puas. Puas kerana masih lagi Allah ingin menguji keimananku. Namun serentak itu juga aku sedih dan malu. Kerana Allah Maha Besar itu masih menyayangi diriku yang hina dan sering mengkhianati-Nya. Subhanallah. Betapa sayangnya Dia padaku.

Sesuai tajuk, aku ingin mengingatkan semua, bahawa tatkala dalam sakit pening kita, ada hikmah yang menjalar hakikatnya. Dalam setiap perkara yang berlaku, tentu ada sisi positif. Dan sisi positif itulah yang kita rujuk sebagai 'hikmah'. Bak kata mat saleh, 'every thing happened has its own silver lining'. 'Silver lining' itu juga hikmah, dalam erti kata yang sama. 

Sekali lagi aku terpana dan malu seketika tatkala Rasulullah S.A.W bersabda:

"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka berhentilah merungut dan mengaduh, sebaliknya teruslah memuji kebesaran Allah, dan bersyukurlah bahawa masih lagi diberikan peluang untuk dihapuskan dosa-dosa kecil lampau. Subhanallah, Maha Suci Allah yang Maha Pengampun.