Monday, January 23, 2012

230112

Alhamdulillah.

Tanggal ini satu tanggal yang bermakna. Dua agenda kesyukuran yang digabung-jalinkan dalam satu sambutan. Bermakna. Ya, sangat bermakna. Kerana perayaan ini ditanggung sepenuhnya oleh para manusia yang mulai di awal kematangan dan yang mula menginjak usia kedewasaan.

Pada hakikatnya nampak ringkas dan biasa, namun pada hakikatnya, pentafsiran yang dilakukan lebih daripada itu nilainya.

Walau apa pun, yang lebih utama. selamat menyambut ulang tahun kelahiran kali ke-44 untuk Umi. Begitu juga selamat menyambut ulang tahun ke-20, penyatuan kasih dua insan yang diredai Allah, kepada Umi dan Abah.

Saturday, January 07, 2012

QUALIFIED.

Assalamualaikum.

Semalam ada pertemuan empat mata dengan delegasi University College Dublin (UCD). Lebih tepat mungkin program dialog dan perkongsian. 

Tepat! Ini yang kumahukan. 

Dan di akhir pertemuan, aku sempat berbicara sebentar dengan Mrs Caroline. Banyak yang aku tanyakan. Cepumas mungkin. 

Tentang perbezaan UCD dibandingkan dengan RCSI. Tentang impression terhadap pelajar Malaysia. Tentang iltizamku untuk ke UCD meski terbelit dengan masalah 'twinning program' sedang aku dambakan 'full course'. Sehinggalah kenapa aksen butir bicaranya beda sekali dengan masyarakat Inggeris. Derai tawa pecah. 

Tutur Inggerisku sedikit terganggu. Aku gagal mencari makna pada satu ketika di tengah kerancakan perbualan. Aku menjajar mencari perkataan untuk menyambung maksud. Dan akhirnya aku sedar, aku terlupa perkataan 'qualified'. 

QUALIFIED. Satu kata banyak makna. Jasmani jua nurani. 


IMTIHAN DAN PEROLEHANNYA.

Assalamualaikum. 

Review week sedang berlangsung. Satu per satu subjek mula aku ketahui keputusannya. Meski belum semua namun aku sudah mampu mengagak keseluruhannya. 

Tiada yang perlu dikesalkan rasanya. Juga tiada apa yang terlalu menggembirakan. Tiada yang menghairankan atau menakjubkan. Aku biasa peroleh keputusan yang sangat cemerlang. Aku juga biasa peroleh keputusan yang sangat kecundang. Lumrah kehidupan.

Yang perlu hanya ucapan kesyukuran, mungkin. 

Segala yang berlaku ada yang terlindung di baliknya. Yang penting, kita bangkit dari kekalahan. Aku tak kisah kalah pada manusia. Yang aku gusarkan, kekalahan kepada diriku, diri zahir dan batin sendiri. 


DAN ENAM BULAN KEDUA PUN BERMULA.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. 

Jejak hari ini, sudah seminggu di sini. Perasaan? Rencam. Ketemu rakan-rakan. Juga para guru. Dan keputusan peperiksaan. Aku hirup atmosfera ini dengan tenang, aku gunakan respiratory tract yang baru. 

Ah, alangkah indahnya hidup ini sebenarnya. Semacam perasaan kembali ke kenangan di Sains Johor dahulu. Di mana segalanya indah. 

Oh ya, aku kini menginjak usia 19, secara kiraan tahun. Dan aku kian rasakan amanahku kian memberat. 

Monday, January 02, 2012

PERGI, KUTERUSKAN.

Assalamualaikum.

Aku melangkah keluar hari ini. Aku pergi. Destinasi berikutnya : Reda Ilahi. 

FASA KEDUA.

Assalamualaikum. 

Malam ini malam terakhir. Yang terakhir bagi waktu rehat Semester Pertama. Perasaanku? Tidaklah berkecamuk. Aku tafsirkan gejolak dalaman ini sebagai keterujaan dalam kesangsian. Orang Putih bilang 'thrilling anxiety'. OK, itu merepek.

Aku puas berehat sebulan lebih kurang. Aku tak dapat lakukan semua yang kumahu lakukan dalam tempoh ini. Namun, aku yakin aku sudah cukup bermuhasabah dan merefleksi diri. Tidak perlu terlalu menggambarkan apa-apa. Juga hanya sepatah dua berkata-kata. Selebihnya aku peroleh daripada lima deriaku. Alhamdulillah, meskipun sekelumit cuma, tidak banyak, namun Allah tunjukkan laluan. Dan aku memilih untuk melalui laluan itu. 

Kenangan? Aku belajar sesuatu sepanjang enam bulan pertama di Kolej MARA Banting. Fasa orientasi yang menarik. Mungkin cukup untuk kuteruskan ke semester kedua. Aku namakannya 'Fasa Latihan'. Definisi? Rencam.

Aku menjadi lebih berfikr kali ini. Aku menjadi lebih bijak kali ini. Aku menjadi lebih matang kali ini. Aku juga lebih tabah kali ini.

Aku percaya tulang belakangku ampuh dan utuh. Keluarga, bangsa dan agama. Setia menampung kemaraanku. 

2012. Semester kedua. Fasa latihan. Apa pun, bawakan ia padaku. SEKARANG. 



KEMBARA INI AKU TERUSKAN.

Assalamualaikum. 

Bismillahirahmanirahim. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Segala puji bagi-Mu Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.AW. 

Alhamdulillah, post pertama bagi tahun 2012. Juga menandakan ulang tahun pertama sejak pembukaan blog MICHIN0511. Akhirnya, genap setahun blog ini semalam. Banyak, tidak sedikit, perubahan yang boleh dicerap dari post-post terawal sehinggalah yang paling mutakhir. 

Dan aku pun melangkah ke satu fasa baru, secara teknikalnya. Dan aku harapkan satu anjakan juga, secara konseptualnya. Demi Allah fi sabilillah, aku sandarkan harapanku, keluargaku, bangsaku, negaraku juga agamaku. Masih si kurus yang sama, cuma kali ini aku berbeza.  

2012. DAN KEMBARA INI AKU TERUSKAN...