Friday, March 16, 2012

PANTULAN.

Assalamualaikum. 

Lama tak menjengah, alang-alang menyeluk pekasam, biarkan sampai ke pangkal lengan. 
Alhamdulillah, dalam cungap dan lelah masih bernafas. Sememangnya itu nikmat. Ya, nikmat. Yang tidak bisa dinafikan sebagai nikmat yang tidak ditanggapi. 

Segala yang berlaku di sekeliling kita, yang membuatkan kita terus teguh berdiri di atas bumi nan fana ini semuanya terangkum sebagai nikmat. Terpulanglah untuk kita tanggapi dan takrifkan. 

Aku? Ya, aku masih di sini. Tidak berganjak dari tempatku sekarang. Mungkin masa semakin menginjak, namun aku masih tidak melangkah mengikutinya. Mengapa dikejar masa yang cemburu itu? Biarkan.

Terkadang dalam gelak tawa berderai yang memecah hening susasana itu kita masih tetap tidak dapat menafikan, bahawa di suatu sudut dalam sebuah kotak hati itu tersorok gumpalan duka dan lara. Yang kita pendam sekeras-kerasnya, dan diluahkan sebagai satu ukiran senyuman di wajah andai terasa seperti ingin memuntahkan gumpalan-gumpalan itu. 

Kita sering percaya kita perlu teman untuk bicara dan berkongsi semua, namun kita juga ada kepercayaan yang mengatakan bahawa mereka tidak akan pernah mahu mendengar. Mendengar sebagai seorang pendengar sebenar. Dan akhirnya kita lemparkan perasaan sehingga bergumpal di dalam hati. 

Kita juga pernah berasa terkilan kerana diabaikan. Ah, persetan sahaja mereka yang dambakan perhatian. Kerana yang lebih utama bukan tumpuan mata-mata manusia itu, tetapi kepuasan dalam diri itu sendiri. Ya, aku puas walaupun letakku dalam kelompok mereka yang diabaikan. Kdang-kadang aku ketawa sendiri mengenangkan nasibku yang baik kerana tidak sesembrononya mempamerkan kebodohan untuk tatapan seperti sesetengah golongan manusia itu. 

Aku juga merasa kegagalan dalam tempoh masa yang singkat ini. Buka satu tapi beberapa kegagalan. Maka apa aku lakukan? Hah, aku bukan sang paranoid yang merasakan dunia ini kelam sehingga akhirnya andai kegagalan itu yyang terlebih dahulu mengganggu perjalananku. Dan aku juga bukanlah culas untuk tidak peka pada perubahan yang perlu dicorakkan. 

Tempoh itu masih panjang. Tarikh luput impianku masih jauh. Hayat yang masih belum puas terisi. 

Aku sering memikirkan tentang pantulan. Melihat diriku sendiri melalui jendela. Aku melihat dalam cemas dan gusar, pada diriku sendiri. Aku melihat pantulan. Pantulan diri sendiri. 

Dan pada hakikat rasa hati ini yang tidak pernah akan bersemadi dengan tenang, introspeksi dan intuisi terkadang kala memainkan peranan utama. 

Ya, inilah yang sedang berlaku sekarang. 


 

1 comment: