Thursday, May 19, 2011

KAEDAH MEMBAYAR KAFFARAH NAZAR

Assalamualaikum,

Okay, aku malas nak cerita panjang. Let just say yang aku gagal menyempurnakan nazar. 

Astaghfirullah ! Macam mana aku boleh terlupa ni !! 



Berikut merupakan penjelasan terperinci daripada individu yang lebih arif mengenai hal tersebut. 

Kepada sesiapa yang mengalami masalah seperti saya, silalah ambil perhatian . 

----------------------------

SOALAN : 

Saya pernah bernazar untuk lulus peperiksaan. Namun sehingga kini saya lupa nazar saya. Maka berpandukan kenyataan agar disedekahkan makan/pakaian kepada 10 orang miskin. Bagaimana kalau saya bersedekah kepada 10 anak yatim dalam bentuk pakaian? Bagaimana syarat untuk bersedekah baju itu dan bagaimana pula syarat untuk bersedekah makanan?

JAWAPAN :

Nazar maksudnya, anda mewajibkan atas diri sendiri untuk melakukan sesuatu ibadah untuk Allah SWT yang asal hukumnya tidak wajib. (Mughni muhtaj, jld:4,hlm:354).

Sesuatu nazar yang berbentuk ibadah yang asalnya sunat akan menjadi wajib dengan bernazar untuk melakukannya. Contohnya, anda bernazar untuk puasa hari Isnin dan hari Khamis selama setahun. Sedangkan hukum asal Isnin dan Khamis adalah sunat, namun dengan bernazar berubah menjadi wajib.

Nas al-Quran yang bermaksud: 

Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.(al-Haj:29).

Berdasarkan kepada ayat ini jelaslah bahawa menunaikan atau menebus nazar adalah wajib.

Manakala dalam surah yang Allah swt berfirman yang bermaksud: Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.(al-Insan: 7)

Apabila seseorang itu telah bernazar maka wajib ke atasnya melangsaikan tanpa bertangguh apabila hajatnya dikabulkan oleh Allah SWT. Maka nazar adalah hutangnya kepada Allah SWT yang telah berjanji menunaikan sesuatu ibadat seperti mana yang dinazarkan. Maka pada dasarnya janji itu wajib ditepati tanpa bertangguh bila mampu berbuat demikian.

Adapun amalan yang perlu dilakukan oleh seseorang berpandukan suruhan Allah SWT dalam al-Quran apabila gagal menunaikan nazarnya kepada Allah SWT, firmanya yang bermaksud: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.(al-Maidah:89).

Maka berpandukan kepada ayat di atas jelas bahawa kafarah (penebus) bagi nazar adalah seperti berikut:

1- Memberi makan 10 orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu.
2- Memberi pakaian kepada 10 orang miskin
3- Memerdekakan seorang hamba
4- Mereka yang tidak mampu melakukan ketiga-tiga perkara di atas bolehlah berpuasa selama tiga hari.

Adapun makan kepada sepuluh orang daripada makanan yang biasa kita makan atau makanan ruji sesebuah keluarga. Kebiasaannya memberi orang makan mestilah hidangannya sempurna, misalnya di negara kita sesuatu hidangan mesti dilengkapi dengan nasi, lauk dan sayur. Maksudnya hidangan yang lengkap dan mengenyangkan. Adapun cadangan saudara untuk memberi pakaian kepada 10 orang anak yatim adalah tidak tepat dan tidak terlepas dari menebus nazar. Ini kerana tidak semua anak yatim tergolong dalam golongan fakir miskin.

Dalam masa yang sama menjaga anak yatim dan kebajikan mereka tidak semestinya dengan bantuan tebusan nazar. Sebetulnya ialah saudara mencari 10 orang fakir miskin dan memberi mereka pakaian yang lengkap. Pakaian lengkap maksudnya seluar panjang dan baju, atau baju melayu sepasang atau baju melayu dengan kain pelekat. Kalau penerimanya perempuan maka hendaklah pakaian yang diberi itu boleh menutup aurat. 

Menebus nazar adalah tuntutan yang wajib ditunaikan, ia dikira ibadat kepada Allah SWT.

Justeru, setiap ibadah yang dilakukan kepada Allah SWT mestilah ikhlas dan jujur. Apa sahaja amalan yang dilakukan mestilah dibuat dengan sebaik mungkin dengan harapan ia diterima Allah SWT, jangan melakukan sesuatu ibadat seperti ” melepaskan batuk di tangga”, natijahnya Allah SWT tidak akan terima.

Oleh yang demikian, bagi mereka yang bernazar hendaklah menunaikan nazar mereka dan bagi mereka yang terlepas pandang atau terlupa maka hendaklah ditebus nazar itu dengan melakukan salah satu dari kaffarah yang dinyatakan dalam surah al-Maidah.

---------------------------

Maka, wajarlah diingatkan di sini bahawa janganlah kita bernazar secara sambil lewa . Nazar bukanlah 

satu perkara yang boleh dibuat main main :P

p/s : Kenapalah aku boleh lupa yang aku bernazar ?

No comments: