Assalamualaikum.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar.
Hari ini tanggal 05 November. Hari yang bagiku padanya seribu makna. Tersurat. Juga tersirat.
Syukur aku panjatkan ke hadrat-Mu Ya Rabbul Jalil. Kau berikan lagi aku peluang untuk bersama-sama keluargaku yang tersayang untuk meraikan hari ini. Hari lahir putera sulung dalam keluarga kami.
Bukan kebetulan rasanya hari ini juga termaktubnya Hari Arafah. Sesungguhnya bangga yang kurasakan juga kesyukuran yang kuucapkan pada-Nya, dengan takdirnya hari lahirku kali ini disambut umat Islam seluruh pelusuk dunia di Padang Arafah, tatkala sedang berwukuf dan memanjatkan doa di Jabal Rahmah. Besarnya nikmat-Mu Ya Rabbi, seluruh umat Islam mungkin mendoakan kesejahteraan dan keberkatanku bertepatan dengan waktu mustajabya berdoa dan di tempat makbulnya doa seorang Mukmin. Amin ya rabbal alamin.
Gembira. Gembira rasanya dapat meluangkan masa bersama-sama keluarga tersayang seharian menyambut hari lahirku. Biar tak sehebat dan gilang-gemilang seperti rakan-rakan lain, namun aku bersyukur. Bersyukur kerana aku masih punyai keluarga untuk aku berkongsi kegembiraan pada hari lahirku ini.
Pada masa yang sama aku dapat merasakan kesayuan. Kesayuan kerana mengenangkan susah-payah abah dan umi dalam membawa dan membesarkan aku selama ini. Hari ini, genaplah 18 tahun aku mengenali dunia, benafas dengan nikmat kurniaan Allah di muka bumi. Dan dalam tempoh masa yang sama itu jugalah aku dapat merasakan kasih dan sayang yang dicurahkan oleh dua insan yang kupanggil mesra 'Abah' dan 'Umi', yang turut kukongsi bersama dua orang adik dengan kerenah yang melelahkan namun menghiburkan. Ah, alangkah indahnya masa itu. Harapanku masa ini akan terus berkekalan sehinggalah suatu masa nanti.
Hakikat ini perlu aku telan dalam-dalam. Hingus yang masih meleleh perlu kukesat. Rambut yang berserabut perlu kusisir rapi. Semuanya kerana kini aku digelar seorang lelaki berusia 18 tahun. Jangan gelar aku 'budak'. Jangan gelar aku 'remaja' lagi. Panggil aku 'lelaki'. Kerana aku sedang bergerak ke arah kedewasaan. Ya, kedewasaan. Kematangan itu bukan lagi ukuran, kerana sebagai seorang yang sudah 18 tahun, kematangan itu sudah menjadi satu kewajipan dan prasyarat.
Aku dapat merasakan beban tanggungjawab dan amanah yang kian memberat. Pelbagai amanah yang digalas. Biar kukemaskan peganganku pada segala amanah dan tanggungjawab itu. Misiku kini kian jelas. Ya, sebagai seorang pelajar perubatan, ditaja MARA ke luar negara dan sebagainya. Tapi, ada lagi yang lebih dari itu. Misi mencari mardhatillah. Mencari keredaan Ilahi. Menjadi seorang pakar kardiotorasik Muslim terkemuka, yang taat dan patuh pada agama, yang membanggakan keluarga, yang menaungi komuniti, yang menjulang nama Malaysia dan yang paling penting, yang bisa menegakkan syiar Islam.
Bukanlah tabiat dan fi'il aku untuk meniup lilin dan membisikkan hajat dalam hati, kerana hari lahirku bukan disimbolikkan dengan kek keju 1 kilogram berharga mencecah ratusan ringgit, tapi dilambangkan dengan semangat dan keazaman yang kian membara, diiringi doa ke hadrat Allah. Biar tidak semua tahu hari lahirku hari ini, kerana kurasakan tidaklah layak bagiku mencanang hari lahirku merata-rata seperti mana yang kita lakukan untuk mengwara-warakan hari keputeraan baginda Nabi Muhammad S.A.W dalam sambutan Maulidur Rasul.
Terima kasih kuucapkan sebagai tanda penghargaan kepada individu-individu mahupun organisasi yang mengingatiku dan hari lahirku.
Akhir kata dariku,