Monday, November 28, 2011

MAKA BERAKHIRLAH SEMESTER PERTAMA.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Baru dapat peluang menulis. Padahal sebenarnya baru dapat berada atas talian. Secara tiba-tiba kemudahan Wi-fi terbantut. Sebab tidak diketahui. Yang pasti aku agak terkilan dengan perkataan "NO INTERNET ACCESS" itu. 

Nampaknya cuti semester dah bermula semenjak hari Jumaat yang lalu. Oh, kekok rasanya menggunakan terma 'cuti semester'. Mana taknya, selama ini yang biasa ditutur hanyalah 'cuti sekolah'. Lantaran 'cuti sekolah' itu hanya layak bagi pelajar sekolah, aku kenalah guna terma yang gah sikit. 'Cuti semester'-bagi pelajar institusi pengajian tinggi.

Huh, jenuh dan perih rasanya menyudahkan kertas terakhir, Mathematics HL 2 tempoh hari. Tamatnya kertas tersebut menandakan berakhirlah Semester 1. Ya, benar. Berakhirlah sudah semester pertama aku di Kolej MARA Banting. 

Seronok? Mungkin ya. Puas? Ah, mungkin tidak. Tapi cukup. Sepanjang hampir 6 bulan bermastautin di sebuah institusi pengajian tinggi di tengah-tengah ladang kelapa sawit bersebelahahan Kg Labohan Dagang ini, aku sedaya upaya menyelesakan diri aku dengan suasana serba baru. Sungguh aku akui, proses adaptasi itu sukar pada awalnya, namun semakin biasa. Aku jadi semakin normal dan ekuilibrium dengan keadaan sekelilingku. Baik pada manusia, bangunan mahupun segala yang nyata, yang terkandung dalam perut KMB itu. Pantas aku rasakan tidak perlu aku bersusah payah mereviu satu per satu kisah hidup sehari-harian di kolej, kan? 

Pengakhiran Semester 1 ini mungkin bagiku biasa. Mungkin tidak bagi yang lain. Cuma tiada yang lebih, hanyalah sekadar sesuatu yang norma. Seolah-olah satu penamat bagi sesebuah tahun akademik di sekolah, cuma kali ini lebih singkat.  Entahlah, cuma aku rasakan enam bulan ini hanyalah satu bentuk orientasi. Meskipun pada hakikatnya, proses itu berulang setiap hari, di mana saban hari aku menemukan sesuatu yang baru di situ. 

Memang aku gembira dan bersyukur. Bersama rakan sebilik C110. Mengenali tuan bilik yang sentiasa menjadi kunjunganku, C109 dan C238, ahli kelas hebat M11B dan menjadi sebahagian daripada generasi IB 2011/2013. Tapi perkenalan ini belum cukup matang. Perkenalan ini perlu diteruskan dan dieratkan. Dan harapnya proses itu dapat diteruskan. 

Ah, sudahlah. Tatkala terfikirkan apa yang telah kuluahkan atas kertas jawapan peperiksaan akhir Semester 1 tempoh hari merupakan satu realiti yang perit ditelan. Sekarang, biarlah aku meneruskan proses menelan itu. Dan terus merasakan keperitannya sehinggalah kertas-kertas itu kembali menemuiku semester depan nanti. Salahku sendiri. 

Sehingga detik itu, aku akan terus menunggu, bersama resolusi-resolusi baru untuk episod kehidupan di KMB semester berikutnya. 

Insya-Allah. :)

3 comments:

Unknown said...

suka :)

Khairul Fadli Rushdi said...

Alhamdulillah~
Hargailah masa kat KMB tue~
Hargailah kawan2 kat KMB tue~
Hargailah pluang ada di Malaysia tue~
Pjam celik-pjam celik,
Akan brakhirlah khidupan di KMB~
Mcam akue yg dah tinggalkan INTEC~

Haiqal Hazwan said...

@RAUDAH

Thank you :)

@KHAIRUL

InsyaAllah, thanks for the reminders.