Saturday, December 31, 2011

DAN LEMBARAN INI AKU TUTUP.

Assalamualaikum. 

Alhamdulillah. Biar aku dengan rasminya menutup lembaran 2011. Biar kususun rapi lembaran ini di para kehidupan. Termasuk yang terbaharu ini, aku kira sudah ada lapan belas lembaran kesemuanya. Ya, 18. Dan biarku katakan sejujurnya, tidak sedikit, namun banyak yang tercatat pada lembaran kali ini tersangat bermakna. Dan apabila aku berbicara mengenai 'makna', ketahuilah bahawa hanya yang empunya lembaran mengerti maksudnya. 2011 yang menyaksikan episod kegembiraan yang melebihi kedukaan. Allah Aza Wajalla mengurniakan nikmat-Nya kepadaku lebih sedikit kali ini. Aku dapat rasakan itu. Cuma mungkin caraku berterima kasih agak hambar tahun ini. Lebih rancak ketika aku meminta-minta, mungkin. Tapi, kurasakan tak perlu aku mengeluh panjang. Memang 2011 ini permulaan yang baik bagiku. Permulaan yang baik bagi segala impian. Maka, selamat tinggal 2011. Tak mungkin kita bersua kembali.

DAN LEMBARAN INI AKU TUTUP... 


Tuesday, December 20, 2011

SINARILAH KIBLATKU.

Assalamualaikum. 

Bungkam suasana malam semalam. Secara tiba-tiba abah menukar saluran radio. Dan bersenandunglah Hazami dengan lagu yang berjudul "Kiblatku". Ah, aku masih ingat alunan muziknya, juga setiap bait liriknya. Kumat-kamit bibir kami tiga beradik. Cuma suara Sarah mungkin terlebih sedikit kenyaringannya. 

Tahun 2008, kali terakhir seingat aku mendengar lagu ini. Lama sudah. Ya, memang lama. Tapi yang paling aku ingati tentu sekali barisan wacana yang dikandung melodi itu. Entah kenapa, bagiku sangat bermakna. Dan sinkronik juga. 

"Bila terbit sang suria
Begitulah semangat tegar
Meskipun musim kan silih berganti
Ku terus melangkah
Daku gagahi
Mencari arah
Oh Tuhan
Sinarilah kiblatku."

Aku perlukan sinar itu. Semua perlukan sinar itu.  



Monday, December 19, 2011

SESEKALI KITA RASA INGIN BERUBAH.

Assalamualaikum. 

Hari ini aku belajar sesuatu yang berharga. Pembelajaran secara tidak langsung daripada rentetan beberapa peristiwa. Tatkala melihat, mencerap dan memerhati dengan mata, hati dan naluri sendiri, aku akhirnya sedar tentang sesuatu hakikat. 

Apabila kita semacam diberi suntikan nafas improvisasi, natijah sesebuah pengalaman, kita pasti terasa seperti mahu berubah. Atau hijrah. Ya, kedua-duanya punya definisi yang hampir sama. Walaupun hakikatnya kedua-duanya sukar. 

Wednesday, December 14, 2011

JOHOR PREMIUM OUTLET


Assalamualaikum.

Kemeriahan pembukaan rasmi Johor Premium Outlet oleh YAB Perdana Menteri sedikit sebanyak mendorong aku untuk pergi merasakan sendiri pengalaman berada di sana. Mana tidaknya, sepatutnya sebagai anak jati Johor, berpatutanlah aku untuk berbangga dengan pembukaan tempat sebegini berprestij. Tersergam megah di Kulaijaya, dan merupakan satu daripada beberapa projek mega Wilayah Pembangunan Iskandar, kawasan ini menempatkan barisan butik-butik jenama terkemuka dunia antaranya Armani, Gucci, Polo dan banyak lagi yang tidak termampu aku untuk menyebutnya. 

Ya, memandangkan Kulaijaya itu hanya sekangkang kera daripada Simpang Renggam, ditambah pula dengan adanya lebuh raya Link Kedua, bersama keluarga, aku membuat rombongan ke sana. Langsung tidak berniat untuk membeli apa-apa, kerana kami yakin kami bukan daripada golongan yang mampu untuk mendapatkan barangan berjenama seperti yang dipamerkan di butik-butik tersebut, apatah lagi dengan harga yang tidak sanggup untuk difikirkan, waima hati ini meronta-ronta mahu mendapatkannya. 

Cukuplah sekadar aku simpulkan, tempat ini strategik untuk dijadikan kawasan bersiar-siar bagi kebanyakan orang seperti aku. Betul, sekadar kawasan yang sesuai untuk bersiar-siar, menghirup udara segar di tepian lebuh raya. 





Monday, December 05, 2011

DESA SALJI

Assalamualaikum.



Alhamdulillah. Selesai menelan seluruh isi kandungan novel karya Yasunari Kawabata yang berjudul Desa Salji ini. Tidak terlalu tebal, sekadar 183 halaman. Edisi Bahasa Melayu sudah diselesaikan. Begitu juga usai penelitian novel ini dalam edisi Bahasa Indonesia dan Bahasa Inggeris. Pakej lengkap tiga bahasa yang boleh aku kuasai. 

Namun, seperti yang telah aku jangkakan sejak awal lagi, apabila kita mula mencerna karya tulisan para penulis tersohor, apatah lagi seorang pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan, kita perlu meletakkan diri kita benar-benar di tempat watak-watak dalam novel itu berada. Penghayatan harus menyeluruh, nawaitu harus utuh. 

Waima selesai pembacaan, namun aku masih belum menghadam nutrisi novel tersebut secara menyeluruh. Mungkin aku perlu sudahkan kajian ini dengan pantas. Banyak lagi kerja yang harus dilunaskan tepat pada waktunya. 

Maka, hal ini akan memaksa aku mengerahkan seluruh dayaku untuk mencapai matlamat ini. Sebagaimana payahnya Shimamura mencuba untuk memahami isi hati dan rasa perasaan Komako yang sedingin salju namun masih sehangat air panas di pergunungan Utara Jepun itu. 

Ah, warkah ini benar-benar menggamit naluriku. 

Sunday, December 04, 2011

SALAM DARI BUMI PERANCIS

Assalamualaikum 

Jam di Malaysia tepat menunjukkan pukul 11.58 malam. Sedang leka membaca barisan Tweet yang menarik di Timeline, tiba-tiba aku dikejutkan dengan pop-up chatbox di Facebook. 

Oh! Dari seorang sahabat yang kini bermastautin di Perancis. Alhamdulillah. Masih lagi kau mengingati aku. Mungkinkah kerana kau terkesan dengan status terbaruku di Facebook semalam? 

Apa pun, perbualan ini sangat bermakna. Lama aku tidak mendengar khabar darimu. Singkat tapi ya, bermakna. Baguslah kegiatan kerohanian masih berjalan di sana. Ingat kawan, agama Allah di mana-mana pun perlu ditegakkan. Meskipun cuma seminggu sekali usrah, harapnya memadailah sebagai halwa iman dalam diri kau. 

Ya. Aku masih di Malaysia, kawan. Dan aku harap aku boleh berada di bumi yang sama tempat kau berpijak sekarang, suatu masa nanti. Bumi Eropah. Insya-Allah. 

P/S : Kredit kepada Razin Afif dari bumi Colmar, France.

Friday, December 02, 2011

KITA CAKAP HANYA BILA ORANG BERTANYA.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Masih lagi diingati rupanya diri ini oleh para junior. Ya, sekurang-kurangnya masih ada lagi yang sudi menegur. Hatta cuma sekelumit perbualan yang ringkas. Mungkin boleh aku anggap sebagai satu salam tanda ingatan. Namun, yang ringkas itulah yang selalunya membawa makna besar. 

Kredit kepada Ahmad Syukri. 





Normal. Soalan yang biasa ditanya oleh para junior kepada senior mereka yang telah pergi meninggalkan sekolah tercinta. Anda pun boleh meneka. Maka, bila ditanyakan soalan seperti itu, harus atau tidak kita jawab?

Mestilah kita kena jawab. Orang bertanya kita menjawab. Aku jenis yang seperti itu. Bersabitkan hal itulah aku tidak menjaja ceritaku kini belajar di mana, sesudah ini hendak sambung di mana, terbang ke mana atau sebagainya. 

Sebab kalau orang tak tanya, tiadalah terdetik niat di hati untuk memaklumkan kepada seluruh dunia berulang kali tanpa henti. 

Memang. Memang kau tak ingin tahu. Tapi, ada yang lain yang mahu tahu. Kerana itulah, aku bercakap agar yang ingin tahu itu tahu.

Jelas. Atau masih rencam? 


SEBUAH PERTUBUHAN YANG KASIHAN

Assalamualaikum. 

Menarik. Aku terasa tertarik dengan sebuah pertubuhan ini. Pertubuhan yang objektif dan misinya rencam. 
Mungkin lebih kepada menjaga kebajikan ahli-ahlinya yang terasa dipinggirkan oleh masyarakat. Atau mungkin untuk menunjukkan kemegahan mereka, dengan memakai uniform umpama pekerja badan swasta pada setiap hari Rabu. Ya lah, sekurang-kurangnya identiti mereka sebagai golongan minoriti dalam masyarakat dapat ditonjolkan. Lantak kau lah di situ. 

Namun sayang. Pertubuhan ini kulihat masih samar-samar hala tuju. Mana tidaknya, ahli-ahlinya acapkali berhalusinasi. Halusinasi yang liar. Sesuai sangatlah dengan bidang yang sedang kau ceburi sekarang ini. 

Aku tak pasti, mengapa begitu iri sekali kalian dengan masyarakat majoriti dalam komuniti ini? Ya. Aku lupa. Kalian hanya golongan minoriti. 

Kalian golongan minoriti. Namun, kalian cepat melatah. Cepat melenting. Ego terus meninggi. Pantang dicuit, kalian meliuk lentik. Pantang diacah, kalian mengadah. Tapi, selama kalian membuat onar, ada kami kisah? Teruslah hidup dalam permainan itu. Aku, dan golongan majoritiku sedikit pun tidak kisah. 

Satu yang ingin aku ingatkan untuk perhatian pertubuhan itu dan ahli-ahlinya. Kalian sungguh kasihan. Dek kerana itulah, kami selaku masyarakat majoriti tak pernah terasa teringin pun hendak menjentik ahli-ahli pertubuhan itu. 

Itulah dia. Hidup segan, mati tak mahu, Hidup jangan hanya reti mengeluh. Kalaulah kalian sedar, memang kalian sangatlah kasihan. 

Sebuah pertubuhan yang kasihan. 




SEMATA-MATA HENDAKKAN SHOWER CUBE.

Assalamualaikum.

Aku ada sebuah ceritera lucu untuk dikongsi. Cerita yang telah aku pendam lama. Lucu. Sekurang-kurangnya, bagiku lucu. 

Seperti yang kau tahu, aku tahu dan semua orang pun kiranya tahu, kolej ini merupakan tempat berkumpulnya pemikiran-pemikiran cerdas, genius dan geliga. Juga tempat mereka yang optimis, berpandangan jauh serta pencerap yang baik. Aku harap aku juga tergolong dalam kelompok yang disebutkan tadi. Insya-Allah. 

Tapi, seperkara yang mencuit hati aku. Manusia yang berpemikiran kononnya terkehadapan itu jugalah yang mencoret ceritera lucu dalam blog aku ini. Perasan ketiadaan kotak Shout Box yang sekian lama setia menempel di sisi kiri blog ini? Bagus, jika perasan. 

Ya, aku yang membuang widget itu. Kerana tidak lagi aku mampu tahan, terasa senak perut menahan gelak yang pastinya pecah berderai jika dilepaskan, barisan maki hamun dan cercaan kau pada aku. Kau juga mencemarkan indahnya komen-komen lain dalam Shout Box itu. Kalaulah kau sedar. 

Ahh, terasa menyesal pula tak sempat nak print screen dan tunjukkan frasa-frasa lucu itu di sini. Biar lebih ramai lagi terkekeh-kekeh menyaksikan keculasan kau. Culas. 

Seperkara yang bodohnya tentang kau, biar aku jelaskan. Kau hina aku. Kau keji aku. Kau cerca aku. Kau gadai maruah aku. Kau malukan aku pada semua pengunjung blog aku. Rasionalnya apa? Motifnya apa? Tujuannya apa? 

SEBAB KAU TERKILAN. KAU KECEWA AKU DAPAT COP SHOWER CUBE ITU TERLEBIH DAHULU DARIPADA KAU.

Perkara macam itu pun kau kisahkan? Perkara seperti itu pun boleh terbawa-bawa dalam kemarahan kau? 
Itulah manusia. Manusia seperti kau. Manusia yang tohor pertimbangan. 

Di masa hadapan, kalau kau terasa nak gunakan shower cube itu dengan gembira, mandi lebih awal daripada aku. Aku boleh cadangkan. Kau mandi pukul 6 petang mungkin? Atau lepas Asar pun lagi baik. 

P/S: Shower cube dekat Blok C bukan satu tapi ada 24 kalau tak silap. Pilihlah yang mana suka dengan bijak. 

*Sekadar hiasan untuk menggambarkan banyak lagi shower cube di Blok C. Bukan gambar sebenar*

TENTANG TAGLINE.

Assalamualaikum. 

Sedari tadi baru aku sedar dan perasan. Awal-awal semester dahulu, sejak sebelum masuk KMB lagi, group untuk budak KMB ada dua. Kalau tak silaplah. Cuba review semula post-post bulan Jun 2011. 

Tapi, tadi baru aku perasan, grup yang dua itu berkurang. Menjadi satu. Motif? Entahlah. Aku pun bukan pengunjung setia. Aku pun tak ambil tahu. 

Namun, seperkara yang mencuit hati aku di sini. Aku terasa ingin mempersoalkan tentang perkara yang satu ini. Pengunjung tetap grup mungkin perasan kewujudan entiti ini. 



Sahabat, grup ini grup yang sarat informasi. Pantas, mengapa tagline seperti ini masih kekal sebagai pengenalan? Apa maksud frasa ini? Apa yang mahu ditonjolkan sebenarnya dalam grup ini? 

Mungkin bagi kalian remeh. Bagiku tidak. Itu penghinaan kepada kita, warga KMB khususnya. Terasa macam nak joging setempat atas muka orang yang tulis sesuatu yang seperti itu. Serius. 

NOTA KAKI: Saya selaku golongan minoriti di KMB, menyeru kepada para Admin grup, agar berbincang, seboleh mungkin tukarlah tagline grup ini. Saya mohon suara minoriti ini kedengaran meskipun tidak disiarkan di corong pembesar suara KMB. 
Inilah dia. Susah bila pemikiran genius bergabung. Rencam jadinya.  

Thursday, December 01, 2011

ANALOGI SEBUAH KEIKHLASAN.

Assalamualaikum. 

Kali ini, biar gambar yang bercerita. Ceritera niat, hati dan perasaan yang sering disalah tafsirkan. Ya, aku cakna. Niat, hati dan perasaan itu bukan semua merasa yang sama. Aku tak salahkan kau. 






Tapi, antara semua, yang satu ini bagiku lebih bermakna. Dengannya, aku merenung panjang. 


Terima kasih, sahabat. 

P/S: Rentetan ini sepatutnya lebih panjang. Cuma, kebanyakan komen yang tidak berkaitan telah disunting, khususnya yang berat kepada 'racism', 'vulgarism' dan hasutan. :D 

APA SALAH KARYA-KARYA INI?

Assalamualaikum. 

Sedih. Kecewa melihat kalian mempersiakan sahaja karya-karya ini. Bersepah merata tanpa kesedaran selepas tamatnya kertas Malay A1 SL. Sudahlah. Kau belum sedari mustahaknya kau pelajari subjek ini. 

Di mana harga diri karya ini kau sangkutkan? Di mana maruah bahasa kau layangkan? 



Sungguh aku hairan. Manusia yang selalu mengambil sesuatu untuk dipersia, pun wujud di sini. 




TERANGKAN AKU MAKNA "IGNORANT".

Assalamualaikum. 

Aku baru perasan. Mungkin orang di sekelilingku juga perasan. Perasan akan kegemaranku dengan penggunaan perkataan 'ignorant'. Ya, sikit-sikit 'ignorant'. 



Perkataan itu mungkin mudah meluncur laju dari bibir mungilku. Namun, siapakah yang tahu maksudnya yang sebenar? Aku tidak. Takrifan 'ignorant' bagiku rencam. Aku bingung. 

Tapi, entah kenapa aku dapat rasakan ada suara-suara yang mengatakan bahawa aku seorang 'ignorant'. Motif? Juga rencam. Tidak mengapa, biar aku rungkai bagi mencari kepastian. Tapi peringatan, mungkin semua ini bukanlah benar. Kerana aku hanya berikan tekaan. 

Mungkin kau sibuk aku mengatakan aku 'ignorant', tatkala : 

1. Kau kejutkan aku kala subuh-subuh syafi'e, kau ketuk pintu bilikku bertalu-talu, dengan harapan aku bangkit dari pembaringan untuk mempersiapkan diri solat Subuh berjemaah di surau. Namun hampa, usahkan berjemaah di surau, malahan aku kembali beradu atas pembaringanku. Sembahyang pun dekat bilik je, seorang diri. 'Ignorant'-kah aku? 

2. Kau perhatikan aku bersibuk-sibuk mempersiap diri untuk ke kelas, bermekap dan bersolek, padahal waktu belum lagi menginjak jam 7 pagi. Ya, aku tahu kelas bermula pukul 8 pagi. Dan aku berlari-lari anak ke dewan makan, terkocoh-kocoh menelan santapan padahal kau masih menikmati sarapan pagi dalam keadaan belum mandi lagi pun? 'Ignorant'-kah aku? 

3. Kau hairan melihatku berpakaian lengkap, dengan kemeja, lengkap bertali leher, berseluar 'slack' hitam licin, berkasut hitam berkilat, dan rambut bersisir rapi untuk pergi ke kelas. Kau cop aku 'skema'. Adakah itu bermakna aku 'ignorant' juga? 

4. Kau masuk kelas dan terus nampak aku pagi-pagi lagi dah sumbat 'ear phone' dalam telinga, dengar lagu Kpop berdentam-dentum sambil membaca buku Heinneman Biology HL sedangkan kau dengan khusyuk tawaduk bersedia membaca Al-Ma'thurat. 'Ignorant'-kah aku? 

5. Kau rasa menyampah pada aku yang dapat menjawab soalan dengan penuh keterujaan cikgu  masa subjek Econs SL atau Malay SL atau TOK dan begitu menumpukan konsentrasi pada ketiga subjek itu sedangkan semasa subjek Math HL atau Chemistry HL atau Biology HL atau English HL aku hanya mampu berdiam diri seribu bahasa. 'Ignorant'-kah aku? 

6. Kau bertungkus-lumus mencuba memahami soalan Math HL sedangkan aku langsung menidakkan kewujudan subjek itu dalam kamus hidup aku dan terus menelaah subjek Malay SL. Dan akhirnya sampai ke sudah kau tidak berganjak dari soalan yang sama sementara aku dah habis baca Tok Perak, cerpen-cerpen Pak Sako dan Bulan Tetap Bersinar lebih dari tiga kali. 'Ignorant'-kah aku? 



7. Kau sibuk bersembang perihal perempuan. Kutuk perempuan ini, puji perempuan itu dan sebagainya. Berlagak 'macho' dan mencuba untuk menjadi se-lelaki yang boleh. Sedangkan aku tak kisah pun kalau aku jalan di tengah-tengah khalayak perempuan 'hot' kolej dengan memakai baju JPAM dan tracksuit singkat dan berkasut sukan yang buruk untuk ambil barang aku yang tertinggal. 'Ignorant'-kah aku? 

8. Kau berpeluh-peluh, berpenat lelah membanting tulang beriadah di kala petang sedangkan aku bersenang-lenang membaca Epop dalam bilik dekat hostel, tanpa setitik peluh pun. 'Ignorant'-kah aku?

9. Kau masih tercungap-cungap kepanasan, bermandi peluh lencun satu badan lepas riadah, lepas tu tengok aku dengan selamba dah siap pakai baju Melayu wangi-wangi nak ready untuk solat Maghrib. 'Ignorant'-kah aku? 

10. Kau sedar aku tak join sembahyang Maghrib berjemaah dekat surau walaupun aku dah siap awal. Lepas azan Maghrib, terus bentang sejadah, sembahyang sendiri. 'Ignorant'-kah aku? 

11. Aku tak join usrah, aku tak join iftar, aku tak join OMG, aku tak join semua benda tu. 'Ignorant'? 

12. Aku suka Kpop walaupun orang Korea tu semua kafir, dedah aurat sini sana, tapi aku tetap fanatik. Nasyid tak pulak aku nak dengar. 'Ignorant'?

13. Aku tak ikut trend berpasang-pasangan atau 'couple' macam kau. Aku 'ignorant'-kah? 

14. Aku tak kemaruk nak join kelab itu, kelab ini, gerakan itu, gerakan ini. Aku cuma ada SPR je. Tak macam kau, kalau boleh semua benda nak join. 'Ignorant'?

15. Kau sanggup bersengkang mata tengok bola dekat bilik TV sampai aku tak boleh nak tengok AIM, sedangkan aku bertungkus-lumus siapkan kerja Math sebab nak jaga hati cikgu. 'Ignorant'? 

16. Benda yang kau buat tapi aku tak buat. Aku 'ignorant' ke sebab tak ikut macam kau? 

16. Benda yang aku buat, tapi kau benci gila tengok aku buat. Aku 'ignorant' ke? 

17. Banyak lagi lah.... 

Tolonglah kawan, aku benar-benar buntu. Tolong sesiapa, terangkan aku makna 'ignorant' sebenarnya, supaya penggunaan perkataan 'ignorant' selepas ini menjadi lebih relevan dan rasional.