Assalamualaikum.
Kemeriahan pembukaan rasmi Johor Premium Outlet oleh YAB Perdana Menteri sedikit sebanyak mendorong aku untuk pergi merasakan sendiri pengalaman berada di sana. Mana tidaknya, sepatutnya sebagai anak jati Johor, berpatutanlah aku untuk berbangga dengan pembukaan tempat sebegini berprestij. Tersergam megah di Kulaijaya, dan merupakan satu daripada beberapa projek mega Wilayah Pembangunan Iskandar, kawasan ini menempatkan barisan butik-butik jenama terkemuka dunia antaranya Armani, Gucci, Polo dan banyak lagi yang tidak termampu aku untuk menyebutnya.
Ya, memandangkan Kulaijaya itu hanya sekangkang kera daripada Simpang Renggam, ditambah pula dengan adanya lebuh raya Link Kedua, bersama keluarga, aku membuat rombongan ke sana. Langsung tidak berniat untuk membeli apa-apa, kerana kami yakin kami bukan daripada golongan yang mampu untuk mendapatkan barangan berjenama seperti yang dipamerkan di butik-butik tersebut, apatah lagi dengan harga yang tidak sanggup untuk difikirkan, waima hati ini meronta-ronta mahu mendapatkannya.
Cukuplah sekadar aku simpulkan, tempat ini strategik untuk dijadikan kawasan bersiar-siar bagi kebanyakan orang seperti aku. Betul, sekadar kawasan yang sesuai untuk bersiar-siar, menghirup udara segar di tepian lebuh raya.
No comments:
Post a Comment